Followers

Tuesday 4 April 2017



LEMBARAN BARU BOLA SEPAK MALAYSIA





Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.

Tanggal 25 Mac 2017, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melantik Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden baru mereka menggantikan Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pada mulanya TMJ dicabar hebat oleh Tan Sri Anuar Musa (TSAM) namun beliau memilih untuk menarik diri di saat-saat akhir pemilihan jawatan presiden berkenaan. TMJ yang merupakan pemilik serta penaung kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) dijangka mempunyai tugas yang sukar untuk memulihkan imej bola sepak Malaysia yang bagai telur di hujung tanduk ekoran prestasi hambar yang dipamerkan oleh skuad kebangsaan kebelakangan ini.

TMJ merupakan seorang individu yang mempunyai latar belakang yang hebat serta berjaya mengemudi JDT memenangi tujuh piala dalam masa tiga tahun kelab berkenaan ditransformasikan. Dengan rekod yang hebat di JDT, beliau menjadi 'favourite' untuk menggalas tugas sebagai Presiden FAM. Rata-rata peminat bola sepak tanahair memilih TMJ berbanding TSAM kerana mereka percaya akan kebolehan serta pengaruh TMJ di luar negara.

Selepas hanya satu hari dilantik menjadi Presiden, TMJ telah melakukan perubahan yang drastik dengan melantik bekas pengendali JDT iaitu Mario Gomez sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee dan OKS diturunkan pangkat ke skuad B-22 negara. Antara manifesto TMJ adalah, beliau ingin Malaysia kembali digeruni di rantau Asia Tenggara dan juga menubuhkan badan pengadil di Malaysia. Umum mengetahui bahawa mutu pengadilan di Malaysia amat teruk kerana mereka tidak ada satu orgnisasi yang betul-betul menjaga kebajikan serta tempat mereka untuk belajar menjadi pengadil yang lebih professional.

Bola sepak merupakan sukan No.1 tanahair dan segala tindak tanduk TMJ akan diperhatikan dan beliau harus menerima kritikan dan bijak mengawal keadaan. Ini kerana sebelum ini FAM teruk dihentam kerana gagal membawa perubahan kepada mutu bola sepak Malaysia walaupun sudah 30 tahun memerintah ! Justeru, dengan Presiden baru, wajah baru dan semangat yang baru, diharap supaya TMJ berjaya membawa perubahan kepada bola sepak negara dan peminat di luar sana ternanti nantikan nama Malaysia kembali gah di persada bola sepak Asia Tenggara. Ayuh kita sama-sama menyokong bola sepak Malaysia kerana tanpa penyokong, tiadalah bola sepak. #iniligakita #ininegarakita

1 comment: